Skip to content

Jangan ambil kesempatan kenakan caj umrah berlebihan

  • by

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan menasihati agensi pelancongan umrah dan haji untuk tidak mengambil kesempatan mengenakan caj berlebihan susulan langkah Kerajaan Arab Saudi mengenakan caj tambahan visa berjumlah RM350 (300 Riyal) kepada mereka yang ingin mengerjakan umrah.

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata pihaknya akan memantau perkara itu dan akan mengambil tindakan tegas kepada agensi yang cuba mengambil kesempatan mengenakan caj berlebihan.

“Kementerian akan kawal perkara ini, kita tidak mahu agensi mengenakan caj yang tidak sepatutnya atau caj berlebihan dikenakan kepada mereka yang bakal mengerjakan umrah.

“Kita akan pantau dan nasihat mereka (agensi pelancongan) supaya tidak melakukan perkara sedemikian, kita ada kenakan syarat kepada mereka untuk menjadi pengendali umrah, jika ia tidak dipatuhi tindakan tegas akan diambil termasuk membatalkan lesen mereka,” katanya kepada pemberita selepas hadir melancarkan Pameran Pelancongan Antarabangsa Umrah dan Haji, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Bakhtiar mengingatkan mereka yang berniat untuk mengerjakan umrah berhati-hati dengan tawaran pakej yang terlalu murah.

“Kita risau dengan harga pakej umrah yang ditawarkan terlalu rendah, kurang dari RM4,500, buat masa ini boleh dikatakan memang tiada langsung pakej di bawah RM4,500.

“Kalau ada pakej sedemikian, kita syaki ia mungkin ada berunsur penipuan, pelbagai alasan digunakan seperti ada pihak tampil memberikan subsidi, ini kita perlu berwaspada,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harun Ahmmu meminta rakyat Malaysia berlapang dada dengan caj tambahan dikenakan Kerajaan Arab Saudi.

Katanya, kos tambahan itu dikenakan untuk mempertingkatkan prasarana dan kemudahan khas untuk jemaah di kawasan sekitar Makkah dan Madinah.

“Oleh itu berilah kerjasama kepada agensi pelancongan, kami tertakluk kepada apa sahaja perubahan peraturan yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi, yang terbaharu kenaikan kos visa.

“Kita kena terima perubahan ini, kerana kos yang dipanggil ‘Saudi Government Charges’ ini digunakan untuk menaik taraf jalan, pembesaran Masjidil Haram dan perkhidmatan tren dan sebagainya untuk keselesaan jemaah,” katanya.

Semalam, media melaporkan rakyat Malaysia yang mahu mengerjakan ibadah umrah akan dikenakan caj tambahan visa berjumlah RM350 (300 Riyal) susulan bayaran itu diumumkan buat kali pertama oleh Kerajaan Arab Saudi, kelmarin.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan, Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, dilaporkan berkata walaupun caj itu dikenakan buat julung kalinya kepada rakyat negara ini berkuat kuasa semalam, ia dilihat tidak terlalu mahal untuk ditanggung bakal jemaah.

Isnin lalu, Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan perintah diraja yang menstruktur semula visa lawatan, haji dan umrah ke negara pentadbiran diraja itu termasuk pembatalan yuran mengerjakan umrah berulang.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Mohammad Salih Bentin, dilaporkan berkata, perintah yang dikeluarkan itu menggambarkan kesediaan pentadbiran diraja untuk meningkatkan jumlah jemaah berikutan projek infrastruktur besar-besaran dan pembangunan perkhidmatan di Makkah, Madinah dan tempat suci lain.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed Salman kerana mengeluarkan keputusan berkenaan.

Sumber: BH Online